LABUAN: Kerajaan Persekutuan telahpun meluluskan peruntukan sebanyak RM7.9 juta bagi penggantian paip lama sepanjang 1.5 kilometer yang menghubungkan Rumah Pam air di Pulau Enoe ke Tangki SGI.
Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerja-kerja penggantian paip itu sudahpun bermula dan dijangka siap sepenuhnya pada awal tahun 2025.
“Bekalan air di Labuan merupakan satu cabaran yang dihadapi oleh masyarakat Labuan, kerana sumber bakalan air di sini agak terhad dan bergantung dengan bekalan air dari Sabah, selain itu keadaan paip sedia ada sudahpun berkarat dan perlu diganti dengan paip baharu.
“Kita berharap dengan siapnya nanti sebahagian penggantian paip itu ianya akan dapat membantu mengurangkan gangguan bekalan air di Labuan,” katanya kepada media selepas melawat Stesen Janakuasa Patau Patau dan Projek Penggantian Paip Pumping di Pulau Enoe, hari ini.
Pada masa sama, Fadillah sudahpun melakukan perbincangan bagi melihat kepada hala tuju projek Labuan untuk mencari bekalan air dari sumber lain dan jika ini dapat dicapai Labuan tidak lagi perlu bergantung sepenuhnya bekalan air dari tanah besar Sabah.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan kemudahan Awam turut menjelaskan mengenai cadangan pembinaan lojikuasa baharu oleh Petronas bagi membantu menangani gangguan bekalan elektrik yang kerap berlaku di Labuan.
Katanya perkara itu akan dibincangkan secara terperinci dalam mesyuarat kabinet pada 24 Januari ini.
“Cadangan loji janakuasa yang akan dibangunkan oleh Petronas itu telahpun dibincangkan di peringkat kabinet dan ia akan menjadi usaha kerjasama dengan Suruhanjaya Tenaga Sabah (SEC) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dengan sasaran projek itu ditetapkan untuk disiapkan menjelang tahun 2027,” katanya.
Fadillah berkata, Labuan memerlukan sekurang-kurangnya 150 megawatt (MW) berbanding rancangan yang ada sekarang hanya 130MW.