SANDAKAN: Pemantauan dan penguatkuasaan berterusan akan dilakukan bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan susulan kenaikan harga beras di pasaran.
Ketua Cawangan Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Sandakan, Mohamad Saiful Nizam Adnan berkata pihaknya akan bekerjasama rapat dengan pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan bagi tujuan tersebut.
“Berhubung isu kenaikan harga, kita sedia maklum harga beras import di Sabah memang diapungkan mengikut permintaan pasaran.
“Oleh itu, apa yang kami boleh syorkan kepada peruncit adalah untuk menjual beras pada harga yang berpatutan dan tidak meletak harga yang jauh lebih tinggi,” katanya selepas melakukan Operasi Bersepadu bersama KPDN di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Cawangan KPDN Sandakan Azdy Zukkry John.
Menurutnya, kenaikan harga berlaku disebabkan kenaikan harga beras putih import 5 peratus di pasaran dunia iaitu RM3,200 bagi satu tan metrik beras pada ketika ini berbanding RM2,350 sebelum ini.
“Susulan kenaikan itu, semua pengguna beras import akan terkesan. Untuk isu ini, kami bersama pihak KPDN akan memantau aktiviti penjualan beras agar peniaga tidak mengambil kesempatan di atas kenaikan harga ini.
“Dan, kami menasihatkan supaya orang awam dapat memberi aduan kepada kami dengan tepat supaya memudahkan tugas-tugas penguatkuasaan dilakukan,” katanya.
Dalam operasi bersepadu itu, KPB Sandakan merekodkan dua kes di bawah tanda harga dan label, manakala KPDN Sandakan mengenakan kompaun ke atas dua premis di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
