Kerajaan Perpaduan cakna dengan keperluan petani dan pesawah- NAFAS

LABUAN: Kerajaan Perpaduan cakna dengan keperluan warga petani dan pesawah yang menghadapi pelbagai cabaran seperti kenaikan harga baja dan racun sehingga membebankan golongan tersebut.

Pengerusi Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Datuk Zamri Yaakob berkata, kerajaan telah memperuntukkan bantuan bantuan khas seperti bantuan Khas Aidilfitri secara one off, bantuan khas BERNAS, dan juga Bantuan Tunai Pesawah RM200 sebulan untuk tempoh tiga bulan semusim.

“Bantuan-bantuan yang disalurkan itu diibaratkan bagi memberi semangat dan dorongan pesawah untuk bekerja lebih keras bagi menyediakan bekalan makanan yang mencukupi keperluan negara,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri Wilayah Persekutuan kali ke-16 di sini, baru baru ini.

Menurut Zamri, NAFAS juga tidak terkecuali dalam menyokong agenda dan hasrat kerajaan sebagai inisiatif dalam memastikan keterjaminan makanan negara.

“Antaranya, NAFAS komited memastikan sistem penyampaian bantuan subsidi kerajaan bagi baja padi kepada para petani mengikut spesifikasi serta mengikut tempoh pembekalan yang ditetapkan.

“Satu solusi baharu telah disusun oleh NAFAS sebagai langkah proaktif dalam menangani isu kelewatan pembekalan melalui kempen kearah Zero Late Delivery sebagai garis panduan NAFAS dalam memastikan pengeluaran tanpa kelewatan,” katanya.

Selain itu, katanya, NAFAS juga komited menjadi rakan kerjasama kerajaan kea rah membantu usaha kerajaan untuk meningkatkan produktiviti dan pengeluaran hasil serta Tahap Sara Diri (SSL).

Pada majlis itu, Zamri turut melancarkan Program Jualan Agro Madani 2023 yang melibatkan lebih 50 gerai usahawan tani dengan menawarkan harga jualan lebih rendah dan berpatutan.

Hadir sama, Pengerusi Ahli Jemaah Peladang Pertubuhan Peladang Negeri Wilayah Persekutuan Bungso Mohamad dan Timbalan Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Labuan Sharaizad Ahmad Sha.