PGRS sebaiknya membuat kenyataan realiti dan benar

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) sebaiknya membuat kenyataan dalam bentuk realiti dan benar berasaskan politik yang matang.

Ketua Bahagian UMNO Putatan Jeffery Mohamed Nor berkata kenyataan jelas dan realiti ini perlu berlaku pada masa sekarang.

“Sudah-sudahlah kita dimomok dengan cerita-cerita politik yang tidak benar kerana ianya tidak baik untuk rakyat Sabah yang mengharapkan sentuhan politik yang berbeza daripada yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau merujuk kenyataan Pengerusi Gagasan Rakyat Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) disifatkan hanya mampu bercita-cita untuk menawan semula Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Hajiji yakin kedudukan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang menggantikan BERSATU dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ketika ini tidak akan tergugat.

Jeffery yang juga Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah juga menyifatkan kenyataan Hajiji itu memang lumrah orang-orang politik akan mengeluarkan mana-mana kenyataan sebagai salah satu cara memancing pengundi.

Pada masa sama, beliau mempersoalkan kenyataan itu yang menyatakan Gagasan Rakyat mengembangkan sayapnya di Labuan.

“Saya juga ingin bertanya apa status keahlian Ahli Parlimen Labuan Datuk Seri Suhaili Abdul Rahman, adakah masih BERSATU atau sudah keluar masuk Gagasan Rakyat,” ujarnya.

Jeffery berkata yang masih dipersoalkan adalah status kedudukan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) yang merupakan Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah dan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional.

Hajiji selaku Pengerusi Hajiji sepatutnya menjelaskan kedudukan Yong dalam GRS yang menyokong Kerajaan Perpaduan.