SANDAKAN : Peniaga kecil-kecilan di daerah ini antara kelompok yang turut terkesan susulan kenaikan harga beras di pasaran.
Kenaikan harga makanan ruji itu bukan sahaja memberi kesan kepada perniagaan, malah turut membebankan mereka sebagai pengguna secara keseluruhannya.
Zeilah Elok yang mengambil tempahan makanan secara kecil-kecilan berkata, isu kenaikan harga beras pada masa sekarang sangat tidak relevan dan hanya membebankan rakyat.
“Beras adalah keperluan asas setiap keluarga dan dengan keadaan ekonomi sekarang ditambah lagi gaji yang masih ditakuk lama, sudah pasti ia tidak dapat menampung masalah kenaikan harga beras.
“Dari segi stok pula, beras import tempatan dengan harga baharu masih boleh diperolehi, tetapi kadang-kadang ada kedai yang tetapkan had,” katanya kepada Sabah News Today.
Sebagai peniaga kecil-kecilan, beliau berkata tempahan pelanggan turun mendadak sejak kenaikan harga beras baru-baru ini.
“Tidak dinafikan bila harga beras naik, peniaga perlu menaikkan sedikit harga jualan agar boleh menampung modal. Kebiasaannya sebelum ini saya beli beras 10 kilogram berharga lebih kurang RM26.
“Tetapi sekarang ini harga beras tu meningkat hampir RM40. Alang-alang baik beli beras wangi sebab harga tidak jauh beza,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak berwajib dapat memandang serius isu tersebut kerana beras adalah keperluan asas di negara ini.
“Kalau sekarang ini bawa duit RM50 ke kedai hanya untuk beli beras. Masyarakat semakin tertekan dengan situasi sebegini,” jelasnya lagi.
Ends.