Tuaran: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya membawa banyak kejayaan pada tempoh hampir tiga tahun memerintah negeri ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata GRS akan terus membawa lebih banyak lagi pembangunan di seluruh Sabah seperti diperlukan rakyat.
“Kerajaan GRS berhadapan dengan pelbagai ujian getir sejak mengambil alih pentadbiran di Sabah kira-kira tiga tahun lalu.
“Ini termasuklah ‘Langkah Kinabalu’ apabila ada pihak cuba menggulingkan kerajaan negeri. Namun atas kesatuan dan perpaduan kita serta sokongan Pakatan Harapan (PH) kita dapat mempertahankan kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu melancarkan Jelajah Wanita GRS Zon 1B Parlimen Tuaran dan Parlimen Kota Belud di Dewan Sri Sulaman, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun.
Beliau berkata, program jelajah wanita GRS yang dilancarkan Julai lalu, perlu digunakan sebaiknya untuk menjelaskan dasar dan perjuangan gabungan itu kepada rakyat di peringkat akar umbi di negeri ini.
Sehubungan itu, katanya, wanita GRS perlu memainkan peranan lebih berkesan dalam memastikan rakyat tahu dan memahami segala dasar diperjuangkan kerajaan.
