Jangan cemarkan perayaan Hari Malaysia mengadakan demonstrasi – Mustapha 

terima KUALA LUMPUR: Rancangan Pemuda Perikatan Nasional (PN) mengadakan Demonstrasi bersempena Sambutan Hari Malaysia dilihat akan menjejaskan Sambutan Hari Malaysia yang sepatutnya disambut dengan penuh keharmonian.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata sambutan tahun ini sungguh bermakna berikutan negara bakal menyambut 60 tahun pembentukan Malaysia. 

Katanya, sepatutnya ulang tahun ke-60 ini dijadikan wadah untuk mendidik generasi muda tentang Sejarah serta intipati pembentukan Malaysia sekali gus bagaimana merencana agenda masa depan negara ini.

“Dengan cara mengajak generasi muda untuk turun berdemonstrasi bertepatan dengan sambutan Hari Malaysia bukan saja tidak menghormati perayaan Nasional ini tapi memberi isyarat yang tidak baik kepada generasi muda negara ini.

“Kita harap agar generasi muda yang sayang kepada negara ini dapat berfikiran rasional tidak akan terjebak dengan seruan untuk berdemonstrasi ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mustapha merupakan Ahli Parlimen Sepanggar berkata, Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani sedang berusaha bersungguh untuk memastikan generasi muda negara ini dapat menikmati kehidupan yang lebih baik.

“Ini termasuklah dengan menyediakan akses pendidikan yang berkualiti, peluang pekerjaan baru, gaji yang progresif dan jaringan perlindungan yang komprehensif. 

“Marilah kita bersama-sama meraikan sambutan Ulang Tahun Hari Malaysia ke 60 dengan tekad dan semangat baru dalam memastikan Negara ini akan terus diperkasakan dan menjadi antara peneraju ekonomi dirantau ini,” jelas Mustapha.

Generasi muda perlu mencorakkan masa depan negara ini dengan teras keharmonian dan perpaduan yang dihasratkan oleh generasi terdahulu. 

“Kita mahu agar generasi pelapis negara ini akan menyambut Ulangtahun ke 100 tahun nanti dengan penuh keharmonian dengan prinsip kepelbagaian dalam bingkai kesatuan,” jelas Mustapha lagi.