Kota Kinabalu Tuan Rumah Program Latihan Kepimpinan Belia Islam ASEAN

KOTA KINABALU : Program Latihan Kepimpinan Belia Islam ASEAN selama sembilan hari dianjurkan bersama oleh Majlis Da’wah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP).

Ia melibatkan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dan Majlis NGO Islam Sabah, akan diadakan di sini mulai 16 Ogos.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor diberi taklimat mengenai perkara ini oleh Setiausaha Agung Kehormat RISEAP, Datuk Mohamad Marzuki Mohamad Omar semasa kunjungan hormat di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Mohamad Marzuki memaklumkan kepada Ketua Menteri bahawa antara objektif program ini adalah untuk membina kompas moral dalaman yang diperlukan untuk kepimpinan Islam.

“Selain itu ia menyediakan alat dan teknik untuk komunikasi yang berkesan, penyelesaian konflik dan membuat keputusan.

“Ia sekali gus mempromosikan keterangkuman dan rasa hormat di kalangan belia dari pelbagai negara ASEAN,” di sini hari ini.

Mohamad Marzuki berkata, selain itu, program ini juga direka untuk mendorong penglibatan proaktif dalam pembangunan masyarakat.

“Ini merupakan inisiatif dakwah serta mengukuhkan hubungan di kalangan belia untuk membina komuniti ASEAN yang berdaya tahan, aman dan berwawasan,”

Mohamad Marzuki diiringi oleh Yang Di-Pertua USIA Datuk Sapawi Ahmad.