Keruntuhan Dinding Ban Kolam Buangan Tidak Berlaku, Jika Wullersdorf Resources Patuh SOP – Sarifuddin

KOTA KINABALU : Sekiranya syarikat Wullersdorf Resources Sdn Bhd mempunyai pelan mitigasi serta mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sempurna kejadian keruntuhan dinding Ban Kolam Buangan Hempas Basah (TSF) tidak akan berlaku.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai, Sarifuddin Hata berkata, kenyataan Wullersdorf Resources mendakwa mereka sentiasa mematuhi garis panduan Alam Sekitar merupakan satu penipuan sekali gus cuba memutar belit fakta sebenar.

Katanya, satu perkara agak pelik iaitu siasatan Jabatan Mineral Dan Geosains Malaysia cawangan Sabah (JMG) mendapati Dinding Ban kolam TSF milik Wullersdorf Resources didapati telah bocor.

“Akan tetapi, pihak Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah  (EPD) memberikan amaran keras kepada Southsea Gold walaupun pihak Southsea Gold telah menghantar surat rasmi kepada EPD pada tahun 2023 yang Southsea Gold bukan lagi pihak yang beroperasi di kawasan tersebut.

“Terkini, pihak Southsea Gold telah membatalkan kelulusan kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA) tersebut sekali gus bakal mengheret pihak berkaitan ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sarifuddin berkata, beliau juga dimaklumkan Wullersdorf Resources telah mendapat injunksi mahkamah untuk memperbaiki Ban Kolam yang pecah dan membaikpulih parit sedia ada.

“Sebaliknya, Wullersdorf Resources menyalahguna injunksi tersebut dengan menceroboh tanah Southsea Gold dan membina parit baru di dalam tanah Southsea Gold dan mengalihkan air yang mengandungi asid yang tinggi ke sungai berhampiran.

“Ini bukan masa untuk berselindung atau mempolitikkan bencana. Dunia sedang memerhati. Rakyat berhak mengetahui kebenaran,” jelas Sarifuddin.

Menurutnya, beliau menggesa agar pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menyiasat semua pihak yang terbabit dalam kegagalan pengurusan ini.

“Kita dimaklumkan satu pemeriksaan lapangan dijalankan oleh Jabatan Mineral Dan Geosains Malaysia cawangan Sabah, Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah, Jabatan Hutan, Majlis Perbandaran Tawau dan Jabatan Kesihatan pada 20 Mei lalu.

“Hasil pemeriksaan lapangan, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia melalui surat JMG bertarikh 23 Mei lalu mendapati punca keruntuhan dinding Ban Kolam Buangan Hempas Basah (TSF) milik Wullersdorf Resources Sdn Bhd adalah kerana terdapat kebocoran kepada ban takungan kolam (TSF),” katanya.

Secara tidak langsung, menyebabkan air dalam takungan tersebut mengalir keluar dan membanjiri rumah pekerja dan kebun buah di bahagian bawah kolam TSF tersebut.

“Keruntuhan Ban Kolam (TSF) adalah suatu bencana alam yang amat serius dan tidak pernah terjadi di Malaysia sebelum ini.

“Kejadian sebegini pernah berlaku di beberapa negara dan tindakan pantas mereka adalah mengistiharkan darurat di kawasan yang terjejas kerana bahan toksik jenis Sodium Cyanide amat merbahaya terhadap seluruh alam semesta dan kehidupan semulajadi selain kerugian berjuta-juta ringgit akibat pencemaran tersebut,” katanya.

Beliau menambah, ini merupakan kebocoran dinding ban tersebut adalah akibat kelemahan sistem penyelanggaran Kolam TSF tersebut.