KOSAN perlu terlibat dalam sektor hartanah, bangunkan tanah kosong miliknya – Ellron

KOTA KINABALU : Koperasi Serbaguna Sanya Berhad (KOSAN) perlu mempelbagaikan rangkaian perniagaannya sekali gus menjana sumber pendapatan melalui perniagaan dalam sektor hartanah di negeri ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin berkata, KOSAN perlu terlibat dalam sektor pembangunan hartanah serta bergiat aktif membangunkan tanah miliknya di beberapa kawasan termasuk Putatan dan Tuaran.

Katanya, sektor hartanah ini akan dapat membuka lebih banyak peluang pekeriaaan khususnya kepada golongan belia sekali gus menjamin pendapatan dalam masa jangka panjang.

“Ketika ini KOSAN hanya bergantung sepenuhnya kepada kontrak pesanan kerajaan bagi membekal  Pakaian Seragam dan Kasut Sekolah pada tempoh kontrak perjanjian  dikurangkan kepada dua tahun berkuatkuasa pada tahun ini.

“Kita yakin kerajaan akan menilai semula prestasi KOSAN pada tahun ini dan tahun hadapan. Saya tekankan agar kualiti Pembekalan Pakaian Seragam serta Kasut ini memenuhi kehendak pesanan kerajaan,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Serbaguna SANYA Berhad kali ke 40 di sini hari ini.

Teks ucapannya dibacakan Setiausaha Tetapnya, Datuk Mansur Asun.

Ellron merupakan Pengerusi KOSAN berkata, ketika ini kapasiti tenaga pekerja sedia ada dikenalpasti sudah mencukupi untuk menumpukan aktiviti perniagaan yang baharu.

“Kita ingatkan agar Anggota Lembaga Koperasi berserta Pengurusan berusaha untuk memikirkan aktiviti-aktiviti perniagaan yang baharu agar KOSAN dapat mengikut selari peredaran semasa.

“KOSAN perlu berdiri sendiri dan dapat mengurangkan kebergantungan kepada tempahan kerajaan yang pada dasarnya boleh ditarik pada bila-bila masa,” jelas Ellron.

Menurutnya, beliau menaruh keyakinan tinggi kepada barisan Anggota Lembaga Koperasi agar dapat mengorak langkah positif mencari pasaran mempelbagaikan produk KOSAN yang berkualiti serta mengurangkan kebergantungan  terhadap tempahan kerajaan semata-mata.

“Anggota Lembaga Koperasi harus peka terhadap saranan kerajaan agar sentiasa berusaha memenuhi kriteria permintaannya termasuk dari segi kualiti pakaian seragam serta kasut sekolah.

“Ini seterusnya membuktikan KOSAN mampu untuk mendukung amanah diberikan kerajaan dalam aktiviti sosial terutama menyediakan perkhidmatan pembekalan pakaian seragam dan kasut kepada murid-murid sekolah,” Ellron.