LABUAN : Sebuah bot tunda bersama tongkang ditahan selepas dikesan melakukan aktiviti mengorek pasir laut pada kedudukan 2.89 batu nautika utara Pulau Daat di sini semalam.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Labuan, Izwanhadi Idros berkata, bot bersama tongkang tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.
Katanya, kedua-dua bot dan tongkang terbabit tidak dapat mengemukakan buku log rasmi (Official Log Book) sekali gus gagal mengemukakan Contract Crew Agreement.
“Hasil pemeriksaan dalam rondaan Op Sejahtera serta Op Tiris kira-kira jam 9.10 pagi mendapati bot tunda bersama tongkang dikendalikan seorang Kapten, Ketua Jurutera dan Ketua Pegawai merupakan warganegara Myanmar dan India.
“Ketiga-tiga suspek ini masing masing berumur antara 25 hingga 43 tahun ditahan dan diiringi masuk ke jeti Zon Maritim Labuan Untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media di sini semalam.
Izwanhadi berkata, Maritim Malaysia komited melaksanakan rondaan sekali gus melakukan pemantauan mencegah sebarang bentuk pelangaran undang undang, penyeludupan, pencerobohan dan Jenayah Maritim.