KOTA KINABALU: Kerajaan persekutuan dilihat tidak menunjukkan kesungguhan untuk memuktamadkan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta formula peruntukan hasil bersih 40 peratus kepada negeri Sabah.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey G. Kitingan berkata, rangka masa 12 bulan sudah dicadangkan, dibincangkan serta dipersetujui dalam mesyuarat jawatankuasa teknikal, untuk memuktamadkannya.
Katanya, setakat ini tiada perkembangan atau pengumuman mengenai isu kritikal ini sekali gus menunjukkan kekurangan kesungguhan daripada di peringkat kerajaan persekutuan.
“Peruntukkan hasil bersih 40 peratus sangat penting untuk memastikan Sabah menerima bahagian yang saksama daripada hasil dijana dalam sempadannya, bagi menyokong pembangunan negeri serta meningkatkan kebajikan rakyatnya.
“Selama beberapa dekad, rakyat Sabah sudah menunggu sekian lama pelaksanaan penuh perjanjian itu, yang mana sangat penting untuk pertumbuhan ekonomi serta kemakmuran keseluruhan negeri Sabah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Dr Jeffrey merupakan Menteri Pertanian dan Pertanian berkata, kegagalan berterusan kerajaan persekutuan tidak menghormati hak pendapatan 40 peratus mengekalkan jurang ekonomi sekali gus gagal menyumbang menyelesaikan isu kemiskinan di Sabah.
“Rakyat Sabah patut berhak untuk mendapat yang lebih baik, dan sudah tiba masanya kerajaan persekutuan menunjukkan komitmennya untuk membetulkan isu yang telah lama berlarutan itu.
“Atas faktor kebimbangan ini, saya menggesa kerajaan Madani agar mengutamakan pelaksanaan 40 peratus peruntukan hasil bersih untuk Sabah, lebih-lebih lagi kerajaan negeri telah menyediakan data yang diperlukan,” jelas Dr Jeffrey.
Menurutnya, ini memastikan Sabah menerima bahagian pendapatannya yang sah bukan semata-mata isu kewangan tetapi soal keadilan serta kesaksamaan.
“Langkah konkrit mesti diambil segera untuk memenuhi komitmen ini dan memastikan semua aspek MA63 dapat dilaksanakan sepenuhnya mengikut masa dan telus.
“Rakyat Sabah sudah cukup lama menunggu dan sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan bertindak dengan segera dan ikhlas.
“Kejayaan pelaksanaan MA63, termasuk 40 peratus peruntukan hasil bersih, akan memberi manfaat kepada Sabah dan mengukuhkan perpaduan secara keseluruhannya,” kata Dr Jeffrey.