SANDAKAN : Kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Himpunan dan Konvensyen Barisan Nasional (BN) Sabah merupakan landasan agar bangkit mendepani cabaran politik di negara ini.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, Konvensyen BN Sabah berlangsung ahad ini menunjukkan Sabah komited untuk mempertahankan kerajaan perpaduan di peringkat nasional.
Katanya, BN bersama UMNO Sabah tidak gentar meskipun terdapat beberapa usaha menjatuhkan kepimpinan Perdana Menteri termasuk sentimen cuba dimainkan beberapa pemimpin serta parti tertentu di negeri ini.
“Ada segelintir cuba meniupkan sentimen menolak parti Malaya dilihat akan memberikan kesan besar kepada kesepaduan semua parti dalam kerajaan perpaduan.
“Ini termasuk daripada Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar agar Perdana Menteri tidak wajar hadir Himpunan BN Sabah di Sandakan pada 21 Julai ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Bung Moktar merupakan Ketua UMNO Sabah berkata, kenyataan G57 ini juga menyebut kehadiran Anwar Ibrahim di Sabah kononnya dilihat kononnya boleh memecahbelahkan hubungan baik diantara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) di Sabah.
“Kenyataan Zulkarnain ini merupakan toksin dari pemimpin yang tidak berparti wajar ditolak kerana kenyataan itu hanya merupakan pandangan peribadinya sendiri.
“Tidak timbul isu memecahbelahkan hubungan antara GRS dan Pakatan Harapan kerana di peringkat Pusat UMNO bersama BN merupakan pendokong utama kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan.
“Kita hairan kerana hanya di Sabah GRS menafikan sumbangan besar UMNO dan BN dalam pembentukkan kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu,” jelas Bung Moktar.
Menurutnya, tiba masanya rakyat perlu bersatu hati serta bekerja keras demi memastikan agar perpaduan terus dipelihara sekali gus politik dapat dikekalkan di masa depan.
“Kehadiran UMNO dan BN dalam kerajaan perpaduan yakin dapat menyumbang kepada melaksanakan dasar sekali gus memastikan agenda dapat memberi manfaat kepada rakyat di peringkat akar umbi.
“Namun agak malang di Sabah konsep kerajaan perpaduan itu tidak diterjemahkan sehingga menjadi kekangan untuk membangunkan Sabah ke tempat yang sewajarnya,” kata Bung Moktar.