KOTA KINABALU : Seramak 4,493 graduan menerima Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana, Ijazah Sarjana muda dan Diploma sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-26.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, lebih istimewa, konvokesyen pada tahun ini bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-30 UMS.
Katanya, seramai 119 penerima ijazah Doktor Falsafah, 335 penerima ijazah Sarjana, 124 penerima Diploma Pascasiswazah, 3,862 penerima Ijazah Sarjana Muda dan 53 penerima diploma.
“Daripada semua graduan tersebut, seramai 426 graduan memperoleh ijazah kelas pertama.
“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua graduan, ibu bapa dan ahli keluarga serta kawan-kawan yang memberi sokongan kepada perjalanan ini,” katanya.
Kasim berkata, sejak penubuhan UMS selama tiga dekad, UMS melahirkan seramai 91,915 graduan dari pelbagai bidang yang kini menjadi modal insan.
“Mereka kompeten dan berkaliber tinggi yang menyumbang kepada pembangunan komuniti setempat, nasional dan antarabangsa.
“Ini adalah bukti bahawa pendidikan yang disediakan UMS bukan sahaja berorientasikan akademik, tetapi juga membina kemahiran insaniah yang penting dalam kehidupan seharian,” jelas Kasim.
Menurutnya, bilangam graduan UMS ini juga merupakan kejayaan universiti dalam menghasilkan modal insan kepada pelbagai sektor pekerjaan di peringkat negeri dan negara.