TERENGGANU: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tidak berkompromi dengan anggota Jemaah Menteri yang terbabit aktiviti rasuah dan mereka akan dipecat serta-merta.
Perdana Menteri berkata, selepas lapan bulan Kerajaan Perpaduan mentadbir negara, setakat ini tiada lagi menteri Kabinet yang terbabit dengan aktiviti rasuah.
“Semua menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan akan diterajang keluar dan dimasukkan ke penjara jika terbabit dengan rasuah.
“Mereka sering diberi peringatan berhubung perkara itu pada setiap kali mesyuarat Kabinet, malah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta melakukan siasatan jika menerima laporan ada antara menteri terbabit aktiviti rasuah,” katanya berucap pada program ceramah Jelajah Perpaduan MADANI di Kuala Telemong, di sini, malam tadi.
Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Perikatan Nasional (PN) diminta menunggu sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) untuk menukar kerajaan.
“Pimpinan parti gabungan PN perlu bersabar dan tunggu PRU-16 untuk menukar kerajaan.
“Jika keputusan Pilihan Raya negeri (PRN) di enam negeri Sabtu ini tidak memihak kepada calon daripada Kerajaan Perpaduan, ia tidak akan mengubah Kerajaan Persekutuan,” katanya.