Ketua Menteri diberi taklimat mengenai Projek Pemuliharaan Hutan Hujan Kuamut

KOTA KINABALU: Rakan kongsi Projek Pemuliharaan Hutan Hujan Kuamut (KRCP), perkongsian awam-swasta antara Jabatan Perhutanan Sabah, Yayasan Sabah, dan Permian Malaysia, anak syarikat Permian Global bertemu dengan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Pada mesyuarat itu, Pengerusi Permian Global Stephen Rumsey memberi taklimat kepada Ketua Menteri mengenai Projek itu, yang telah mengesahkan Laporan Pemantauan pertamanya bulan lepas, menunjukkan bahawa ia memenuhi piawaian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk kemajuan Iklim, Komuniti dan Biodiversitinya.

Pencapaian ini membolehkan inisiatif pemuliharaan, iaitu melindungi dan memulihkan 83,381 hektar hutan hujan tropika di daerah Tongod dan Kinabatangan, menjana tranche pertama Unit Karbon Disahkan (VCU).

Hajiji berkata, KRCP adalah bukti bagaimana sektor awam dan swasta boleh bekerjasama dengan cara yang berkesan dan telus yang melibatkan dan memperkasakan penyertaan masyarakat setempat dari awal lagi.

“Sabah terkenal dengan hutan biodiversitinya dan adalah penting kita melakukan apa sahaja yang diperlukan untuk memeliharanya.

“Saya mahu kita membina pencapaian KRCP, melindungi sebanyak mungkin hutan kita, dan memimpin dunia dalam usaha pemuliharaan berimpak tinggi, teguh dari segi saintifik yang bukan sahaja memberi manfaat kepada alam semula jadi tetapi juga negeri dan rakyat,” katanya.

Permian Global telah menyediakan pelaburan untuk projek itu dan turut melibatkan pihak berkuasa negeri dan rakan kongsi saintifik dan komuniti, Perkongsian Penyelidikan Hutan Hujan Asia Tenggara (SEARRP) dan organisasi berfokuskan komuniti, PACOS Trust.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Permian Malaysia Ivy Wong Abdillah, Pengarah Yayasan Sabah Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, Ketua Konservator Perhutanan Negeri Datuk Frederick Kugan dan Pengurus Besar anak syarikat milik penuh Yayasan Sabah, Rakyat Berjaya Sdn Bhd Dr Esther Li.