Kerajaan Negeri pantau keadaan penuntut Sabah yang belajar di Timur Tengah

KOTA KINABALU: Berikutan krisis terkini di Timur Tengah, ibu bapa dan keluarga yang anak-anak mereka yang sedang menuntut di sana diminta agar bertenang.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap
Exco Pendidikan & Hal Ehwal Islam, Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, Kerajaan menerusi Wisma Putra dan Kementerian Pendidikan Tinggi memantau keadaan anak-anak Malaysia yang sedang berada di sana khasnya di Jordan dan Mesir

Katanya, Kerajaan Negeri Sabah juga dari masa ke masa akan berhubung dengan pihak Wisma Putra dan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia untuk mendapatkan maklumat terkini.

“Baru sebentar tadi saya berhubung dengan Timbalan Menteri Luar /Ahli Parlimen Kimanis YB Datuk Mohamad Alamin berhubung perkara ini.

“Alhamdulillah menurut beliau Kementerian Pendidikan Tinggi / Wisma Putra sudah bersedia dengan apa-apa keadaan termasuk membawa balik anak-anak kita sekiranya keadaan memerlukan.

“Saya dan Pengarah Yayasan Sabah Datuk Seri Ghulam Haidar sentiasa berhubung dengan wakil Sabah (Pegurus Kanan Pelajar Yayasan Sabah / Atase Pendidikan Sabah di Timur Tengah) yang menjaga anak-anak Sabah di Mesir, Jordan dan Arab Saudi, Ustaz Sabli Aliju berhubung situasi semasa anak-anak Sabah di tiga negara berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Arifin menambah Sabah ada pengalaman menyelaras dan memantau malah membuat penghantaran balik anak-anak Sabah ke tanah air ketika krisis politik yang berlaku di Mesir.

Katanya, untuk rekod setakat ini terdapat 248 anak-anak Sabah yang sedang menuntut di Mesir, 79 di Jordan dan 9 di Arab Saudi.

“Mereka ini belajar di beberapa buah universiti dalam pelbagai jurusan dan mendapat biasiswa, dermasiswa dan ada juga yang belajar dengan biaya sendiri.

“Antara penaja mereka adalah Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah, Yayasan Sabah, MUIS, dan JPA.

“Sekali lagi saya berharap para ibu bapa dan keluarga bertenang. Berdoalah kita moga krisis yang tegang kembali tenang agar anak-anak kita yang berada di luar negara berada dalam keadaan baik, tenang dan selesa menjalani pengajian mereka,” jelasnya.

Di samping mendoakan keselamatan anak-anak di perantauan, Mohd Arifin berkata, teruslah mendoakan keselamatan dan kesejahteraan saudara-saudara di Palestin yang sedang menerima ujian.