lebih RM270,000 hadiah ditawarkan pada Labuan International Sea Challenge bermula 23 hingga 28 April ini – Rithuan

LABUAN : Hadiah keseluruhan bernilai RM278,390.00 ditawarkan sempena Labuan International Sea Challenge (LISC) kali ke 26 dijangka berlangsung di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan bermula pada 23 hingga 28 April ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail berkata, LISC 2024 menampilkan 17 acara termasuk dua berimpak tinggi sekali gus akan melibatkan peserta daripada luar negara termasuk Kanada, Perancis, Hongkong,  Australia dan Brunei Darussalam.

Katanya, tiga acara dinantikan warga Labuan serta pengunjung luar termasuk Cabaran Memancing Laut  Dalam (Daiwa Deep Sea Chaleenge) menawarkan hadiah wang tunai dan barangan memacncing  berjumlah RM100,000.

“Sehingga kini 165 peserta dari dalam serta luar negara sudah mengesahkan diri menyertai acara Cabaran Memancing Laut Dalam mengekalkan Pulau Layang-Layang di Kepulauan Spartly sebagai lokasi acara berkenaan.

“Dua lagi acara turut dinantikan pengunjung iaitu Cabaran Kayak  Mengeliling Pulau (Labuan Round Island Kayak) dan Coastal Ninja Warrior,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Rithuan berkata, beberapa acara lain dijangka dijalankan sepanjang LISC 2024 termasuk Regatta LISC 2024, Kejohanan Bola sepak Pantai, Kejohanan Ragbi Pantai, Larian LISC 2024 serta Pertandingan Memancing pesisir Pantai.

“Perbadanan Labuan mengalu-alukan kehadiran warga Labuan serta kawasan sekitarnya bagi memeriahkan lagi acara LISC 2024 selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Labuan sebagai pusat Sukan Pelancongan di negara ini,” jelas Rithuan.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa dijangka hadir merasmikan acara penutupan LISC 2024.