KOTA KINABALU: Perpaduan kaum, kesepaduan sosial serta integrasi nasional merupakan kunci utama untuk membina keharmonian, kemakmuran dan kesejahteraan di negara ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, tiga elemen ini penting dan merupakan kekuatan bagi menghadapi cabaran mendatang bagi memastikan negara kekal aman serta makmur.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita bertanggungjawab untuk memastikan kelestarian keharmonian dan kemakmuran ini bertahan dalam satu ikatan perpaduan yang utuh, selari dengan tema Hari Malaysia tahun ini iaitu “Keluarga Malaysia, Teguh Bersama,” katanya dalam perutusannya sempena Sambutan Hari Malaysia yang akan diadakan di Padang Merdeka, di sini, malam sabtu ini.
Bung Moktar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pelaksana Sambutan Hari Malaysia peringkat negeri berkata, sekiranya rakyat Malaysia bersatu hati dan tahu peranan masing-masing ianya mampu membendung perbuatan segelintir golongan yang bersikap ekstremis yang menabur fahaman perpecahan dan menyemarak api perkauman yang mencetuskan suasana tidak aman dalam negara demi kepentingan peribadi.
Sehubungan itu katanya, penyatuan “Keluarga Malaysia Teguh Bersama” perlu dihayati dan difahami bagi membawa kemajuan bersama, antaranya pembangunan infrastruktur, pendidikan, ekonomi, komunikasi dan kemudahan asas, meskipun masih banyak yang perlu dilakukan dan diperbaiki.
“Tanggal 16 Sept, Hari Malaysia perlu dijiwai oleh seluruh rakyat tanpa mengira bangsa agama dan ideologi politik. Kita harus komited mengubah mentaliti segelintir rakyat yang masih tidak peduli signifikan Hari Malaysia,” katanya.
Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya berkata, wacana dan naratif yang betul dan waras mengenai sejarah pembentukan Malaysia, amat perlu disemai terutamanya di kalangan generasi muda supaya sentimen negatif tidak terus bersemarak yang akhirnya melemahkan sistem persekutuan, selain menghancurkan kedaulatan negara pada jangka panjang.
Menurut Bung, generasi muda sebagai pewaris dan merupakan kelompok terbesar mengisi ruang populasi kependudukan negara di mana peranan mereka amat diperlukan bagi meneruskan agenda pembangunan negara pada masa hadapan.
Sehubungan dengan itu, Bung berkata, anjakan paradigma, memiliki semangat patriotisme yang tinggi, akhlak yang baik serta kepentingan ketinggian falsafah ilmu hendaklah disemai dalam minda golongan muda bagi membolehkan meneruskan agenda pembangunan negara.
“Golongan muda wajar memenuhi masa dengan belajar dan mencari sebanyak mungkin pengalaman berharga untuk persediaan menempuh dunia yang lebih mencabar. Apatah lagi dunia hari ini bukan sahaja mempertaruhkan keperkasaan semata-mata, bahkan apa yang lebih penting ketajaman fikiran untuk menentukkan untung nasib seseorang,” katanya.
Dalam pada itu, Bung turut mengucapkan selamat menyambut Hari Malaysia dan mengajak rakyat khususnya di Sabah menzahirkan kesyukuran kerana perpaduan dan keharmonian rakyat terus menjadi asas kukuh dalam mengekalkan kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara.
Pelbagai acara siap diatur bagi memeriahkan sambutan Hari Malaysia peringkat negeri Sabah kali ini antaranya upacara menaikkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah, persembahan khas “Kelurga Malaysia Teguh Bersama” oleh artis-artis Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, persembahan hiburan artis-artis tempatan, dan upacara memotong kek Hari Malaysia 2022.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, Toh Puan Norlidah R.M. Jasni dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dijadualkan hadir ke majlis itu.