PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung dakwaan guru-guru dipanggil menghadiri taklimat petugas pilihan raya ketika waktu persekolahan.
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata tugas hakiki guru semasa waktu persekolahan adalah untuk berada di sekolah masing-masing.
“Saya rasa SPR cukup faham dengan tugas dan tanggungjawab guru. Cuma kes ini saya nak kena semak apakah konteksnya.
“Kita sentiasa bekerjasama rapat dengan SPR bagi memastikan tugas SPR itu kita dukung tetapi pada masa yang sama tugas hakiki guru di sekolah dapat berjalan dengan lancar,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program pengukuhan sukan sepak takraw di sini hari ini.
Sebuah portal melaporkan terdapat rungutan daripada wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah di Kajang yang mendakwa SPR ‘memaksa’ guru menghadiri taklimat Pilihan Raya Umum ketika waktu persekolahan yang menyebabkan kebanyakan guru tidak dapat mengajar.
“Kalau perlu untuk beri taklimat kepada guru-guru maka masa untuk mereka menghadiri taklimat itu kita perincikan, ini bagi memastikan bahawa tugas hakiki di sekolah tidak terganggu,” katanya dan menambah KPM akan sentiasa bekerjasama dengan SPR bagi mencari jalan tengah berhubung perkara itu.
Mengenai program pengukuhan sukan sepak takraw itu, Radzi berkata sebanyak 150 sekolah rendah di seluruh negara melibatkan 1,200 pelajar akan menyertai program pencarian bakat untuk fasa pertama pelaksanaannya.
Beliau berkata pelaksanaan program itu adalah untuk mengenal pasti bakat murid berusia bawah 12 tahun yang berpotensi untuk diketengahkan seterusnya ditempatkan di pusat kecemerlangan sukan KPM iaitu Pusat Latihan Daerah, Sekolah Sukan Negeri dan Sekolah Sukan Malaysia.
Program yang bermula hari ini dan dijadual berakhir pada 13 Nov ini turut melibatkan 10 jurulatih mentor dalam kalangan guru yang juga bekas pemain sepak takraw yang akan bergerak dari sekolah ke sekolah.
Radzi berkata proses pencarian bakat murid akan berpandukan modul ujian kemahiran sukan sepak takraw yang terdiri daripada ujian antropometrik, kecergasan, kemahiran asas dan kemahiran spesifik.
Beliau berkata secara umumnya, KPM tidak meletakkan had bilangan pelajar yang akan dipilih menjadi pelapis dalam sukan berkenaan, namun ia bergantung kepada kekosongan yang ada di fasiliti latihan.
— BERNAMA