UMS – Putra and Associates tandatangan LoI tingkat kerjasama perkongsian kepakaran

KOTA KINABALU: Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar (PKPKP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menandatangani Surat Niat (LoI) dengan Putra and Associates bagi memberi pendedahan dunia perunding kewangan kepada bakal graduan.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS selaku yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMS, Prof.Madya Dr. Raman Noordin berkata, LoI itu merupakan salah satu inisiatif UMS untuk menyokong Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan dan Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi 2021-2025 Kementerian Pengajian Tinggi.

“Menerusi kolaborasi ini, UMS melalui PKPKP menyediakan platform kepada Putra and Associates untuk menyumbangkan kepakaran mereka serta memberi pendedahan dunia perunding kewangan kepada para pelajar.

“Saya difahamkan beberapa program yang telah dan akan dilaksanakan seperti seminar pendedahan dan latihan peningkatan kemahiran (upskilling), pembangunan pelajar yang berkait dengan bidang ini.

Bagi pihak UMS, saya amat berbesar hati dan berterima kasih dengan kesudian pihak Putra and Associates untuk bersama-sama merealisasikan matlamat dan objektif LoI ini,” katanya.

Raman berkata demikian dalam ucapannya pada majlis tersebut yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Rabu.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengarah PKPKP, Prof. Madya Dr. Soon Singh Bikar Singh.

Menurut Raman, kolaborasi antara PKPKP UMS bersama Putra and Associates pasti akan dapat meningkatkan kadarkebolehpasaran graduan, mengukuhkan ekosistemkeusahawanan, selain memperkasakan jaringan antarauniversiti dan industri.

“Diharapkan segala pengetahuan dan kemahiran mengenai bidang perunding kewangan dapat meningkatkan jaminan pekerjaan selepas menamatkan pengajian dan seterusnya membuka jalan untuk memberikan peluang pekerjaan kepada komuniti,” tambahnya.

Acara menandatangani LoI itu menyaksikan UMS diwakili Dr. Soon manakala Putra and Associates diwakili Pengurus Daerah, Pg. Hj. Putra Pg Hj. Omar.

Dalam pada itu, Pg. Hj. Putra memaklumkan LoI itu ditandatangani sebagai salah satu usaha Putra and Associatesuntuk membantu para belia khususnya para graduan dalam mendepani krisis pekerjaan pada era pasca pandemik Covid-19.

“Seperti yang kita sedia maklum, para graduan pada ketika ini menghadapi cabaran dalam mencari pekerjaan selepas seluruh dunia termasuk Malaysia berdepan dengan Covid-19 selama dua tahun.

“Justeru, inisiatif kami untuk menandatangani LoI ini mungkin sedikit sebanyak membantu para pelajar dan bakal-bakal graduan meningkatkan kemahiran seterusnya menjadi perunding kewangan yang bertauliah dan kompeten apabila tamat pengajian kelak,” katanya.