KOTA KINABALU: Sabah mengekalkan kerjasama antara negara China menerusi tiga bidang penting termasuk pelancongan, pembangunan modal insan serta memanfaatkan sumber semula asli.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah antara menjadi penerima dan peserta aktif dalam hubungan yang berjaya antara Malaysia dan China sejak hampir setengah abad lalu.
“Perkara ini dibuktikan dengan jumlah eksport komoditi yang besar dari Sabah ke China dan kehadiran ramai pelancong China ke negeri ini sebelum pandemik COVID-19,” katanya pada Sambutan Ulang Tahun Ke-48 Penubuhan Hubungan Diplomatik Antara Malaysia dan China di sini hari ini.
Teksnya dibacakan Timbalannya Datuk Seri Jeffrey Kitingan.
Hajiji berkata, hubungan diplomatik Malaysia dan China yang terjalin sejak 48 tahun lalu sangat bermakna memandangkan ia memerlukan keberanian sebenar kedua-dua negara itu untuk melangkah ke hadapan.
“Tetapi dapat dilihat hasil daripada langkah berani ini. China kini adalah rakan dagangan terbesar Malaysia dan negara kita berada di atas dalam kedudukan rakan dagangan China di Asia Tenggara,” katanya.
“Saya fikir terdapat sekurang-kurangnya tiga bidang dimana kerjasama penting antara China dan Sabah boleh diperbaharui serta diharapkan dapat dikekalkan terutamanya dalam sektor pelancongan,” katanya.