Kerajaan Sabah buka pejabat perhubungan di Kuala Lumpur – Hajiji

KOTA KINABALU: Pejabat Perhubungan Negeri Sabah Kuala Lumpur (PPNS KL) berfungsi sebagai pusat maklumat berkaitan pelancongan, budaya serta pelaburan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, PPNS KL menjalankan fungsi seperti kedutaan bagi rakyat Sabah yang bekerja serta menetap di Semenanjung Malaysia.

Katanya, pejabat ini memerlukan interaksi antara kerajaan seperti isu migrasi, pelancongan, pelaburan dan hal ehwal diplomatik.

“PPNS KL, sebuah agensi kerajaan Sabah di bawah Jabatan Ketua Menteri, juga bertindak sebagai perantara Kerajaan Sabah untuk urusan dengan Kerajaan Persekutuan yang melibatkan hal ehwal pentadbiran,” katanya di sini hari ini.

Hajiji berkata, imej kerajaan negeri juga akan menjalani penjenamaan semula dengan penubuhan Pejabat Rasmi Ketua Menteri di Aras 23A, Penthouse 3 Towers, yang dijangka siap akhir tahun ini.

“Saya mahu Pejabat Perhubungan Negeri Sabah memastikan pendekatan mesra pelabur kita berjaya.

“Dalam hal ini, saya mahu Pejabat ini memperkukuh peranannya sebagai jambatan antara Kerajaan Sabah dan Persekutuan serta dengan kedutaan asing dan syarikat swasta di Semenanjung,” katanya.