Mahkamah Persekutuan putuskan siasatan terhadap Nazlan tidak ikut protokol

PUTRAJAYA: Panel tujuh anggota Mahkamah Persekutuan hari memutuskan bahawa siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dilakukan tanpa mengambil kira aspek berkaitan kebebasan kehakiman, dan tidak mengikut protokol.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel itu berkata cara penyiasatan dijalankan ke atas Mohd Nazlan dengan menghebahkannya melalui kenyataan akhbar, kelihatan tidak menjaga keyakinan terhadap kebebasan badan kehakiman.

Beliau berkata siasatan terhadap Nazlan yang dilakukan tanpa rundingan dengan badan kehakiman juga menimbulkan keraguan sama ada siasatan terhadapnya dilakukan secara bona fide (dengan niat baik).

Badan Siasatan Jenayah tidak boleh dengan sendirinya menghebahkan atau mengiklankan fakta penyiasatan atau kandungan penyiasatan hakim mahkamah atasan tanpa kebenaran Ketua Hakim Negara. Keseluruhan kandungan mesti dirahsiakan pada setiap masa,” katanya.

Tengku Maimun berkata demikian dalam keputusan sebulat suara mahkamah untuk menjawab dua persoalan undang-undang berkaitan kuasa badan penyiasat jenayah menyiasat hakim kanan yang sedang berkhidmat yang dibangkitkan oleh tiga peguam, yang terdiri daripada Haris Fathillah Mohamed Ibrahim, Nur Ain Mustapa dan Sreekant Pillai.

Peguam itu mengemukakan saman pada 6 Mei tahun lepas terhadap ketua pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, SPRM dan Kerajaan Persekutuan selepas SPRM membuka kertas siasatan terhadap Mohd Nazlan berikutan laporan yang dibuat mengenai jumlah tidak dapat dijelaskan lebih RM1 juta dalam akaun bank Mohd Nazlan).

Peguam itu berhujah bahawa badan penyiasat jenayah dan pihak pendakwaan hanya boleh memulakan siasatan ke atas hakim yang sedang berkhidmat selepas hakim itu digantung tugas oleh Yang di-Pertuan Agong atau telah disingkirkan oleh tribunal.

Mohd Nazlan kemudiannya membuat laporan polis terhadap sebuah portal dalam talian yang mendakwa beliau disiasat berhubung kekayaan yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya.

Mohd Nazlan adalah hakim perbicaraan yang mensabitkan dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan denda RM210 juta atas tujuh pertuduhan berkaitan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd pada 28 Julai 2020.