KOTA KINABALU: Pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjadi punca Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah sepatutnya siap pada tahun ini, gagal disiapkan mengikut jadual.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ketika PH memerintah peruntukan projek itu ‘dirampas’ tetapi diumumkan di Parlimen kononnya ia berjaya menjimatkan duit kerajaan.
Katanya, satu lagi projek jalan raya menghubungkan sempadan Indonesia, membabitkan Jalan Serudong – Kalabakan turut dihentikan menyebabkan projek infrastruktur yang sangat penting kepada rakyat Sabah itu tergendala.
“Saya tidak tahu apa dia (PH) jaga di Sabah (sebelum ini). Apa yang saya tahu dia (PH) rampas peruntukan Pan Borneo dan Jalan Serudong dan mengumumkan di Parlimen kononnya dia berjaya menjimatkan duit.
“Kalau saya sebetulnya, tiada satu apapun yang baik PH buat untuk Sabah, bahkan ia biarkan rakyat Sabah menderita.
“Kalau bukan pentadbiran PH, Lebuhraya Pan Borneo Sabah sudah siap tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bung Moktar berkata, Kerajaan Sabah dipimpin BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ketika ini langsung tidak mahu bekerjasama dengan PH.
“Saya tidak tahu kerjasama yang macam mana yang dimaksudkan itu tetapi di Sabah, GRS dan BN bergabung pada PRU15, jadi takkan BN mahu bergabung pula dengan PH.
“Fokus kita ialah untuk memberi keyakinan kepada rakyat bahawa BN boleh menawarkan pakej yang terbaik kepada Sabah berbanding PH.