Kerajaan perpaduan cadangan terbaik selesai kemelut politik di Sabah – Bung Moktar

KOTA KINABALU: Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin menyokong penuh cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar diwujudkan satu Kerajaan Perpaduan Negeri Sabah melibatkan seluruh parti politik di negeri ini.

Menurutnya, beliau percaya melalui kerajaan Perpaduan ini ia mampu meredakan suhu politik sekali gus menstabilkan keadaan politik negeri Sabah pada ketika ini.

“Saya juga berharap agar Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dapat menerima dengan hati yang terbuka saranan daripada Perdana Menteri ini demi menjamin kepentingan dan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya hari ini.

Bung Moktar merupakan Pengerusi Barisan Nasional Sabah mengulas mengenai Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Sabah Yang Ke-enam Belas pada hari ini.

“Sebahagian besar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Sabah tidak dapat menghadirkan diri kerana perlu berlepas ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO.

“Saya bersama ADUN UMNO Sabah turut menyokong penuh Rang Undang-undang Bekalan Gas 2023 yang akan dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Sabah Yang Ke-enam Belas pada hari ini,” katanya.