Tubuh segera ‘Jawatankuasa Khas’ kerajaan perpaduan di Sabah – Azhar

KOTA KINABALU: Penubuhan  Jawatankuasa Khas ‘Kerajaan Perpaduan Sabah seperti yang dibincangkan dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi perlu dilaksanakan segera.

Ahli Majlis Tertinggi (AMT), Parti Warisan (WARISAN), Azhar Matussin berkata, penubuhan ini penting bagi menyelesaikan masalah kemelut politik di Sabah dalam tempoh terdekat.

Katanya, Pada masa yang sama Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor perlu membuktikan keikhlasannya dengan mengarahkan agar orang-orangnya supaya memberhentikan kegiatan memancing Wakil Rakyat Warisan untuk lompat menyertai mereka.

“Sekiranya Hajiji benar-benar ikhlas untuk menstabilkan keadaan politik….Adalah tidak perlu lagi mewujudkan kegiatan untuk memujuk Wakil Rakyat untuk melompat menyertai mereka.

Pada masa sama beberapa individu yang mendakwa diri mereka sebagai orang Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah menghubungi Wakil Rakyat Warisan untuk melompat menyertai Datuk Seri Hajiji.

“Mereka menjanjikan jawatan penting dalam Kabinet Negeri Sabah…..Individu ini mendakwa bahawa tawaran tersebut boleh disahkan sendiri Datuk Seri Hajiji Noor dan Dato Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Darau berkata, beliau berharap  dakwaan ini tidak benar kerana ianya melibatkan nama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ini sudah tentu akan merosakkan nama Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang berusaha keras untuk membenteras rasuah namun pada masa sama cuba dikaitkan dengan kegiatan membeli wakil rakyat di Sabah.

“Kita minta Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor setuju untuk segera tubuhkan Jawatankuasa ini secepat mungkin. Ini adalah hasil perbincangan serta keputusan dicadangkan Perdana Menteri dalam lawatan singkat malam tadi,” katanya.

Azhar berkata, beliau percaya melalui kerajaan Perpaduan ini ia mampu meredakan suhu politik sekali gus menstabilkan keadaan politik negeri Sabah pada ketika ini.

“Saya juga berharap agar Datuk Seri Hajiji Noor dapat menerima dengan hati yang terbuka saranan daripada Perdana Menteri ini demi menjamin kepentingan dan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.

Dalam tempoh sama Azhar berkata, Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Afdal bersama semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) WARISAN menyokong saranan Perdana Menteri bagi pembentukan sebuah kerajaan perpaduan untuk mentadbir negeri Sabah dalam tempoh terdekat.