KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada pembangunan kemudahan asas yang kritikal membabitkan bekalan air dan elektrik yang amat diperlukan di negeri ini,
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, usaha ini bukan sahaja sebagai pemangkin untuk memperkukuhkan ekonomi negeri, juga memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat pada tahap yang lebih selesa.
Katanya, komitmen dibuktikan melalui penyediaan peruntukan terbesar dalam Belanjawan Negeri 2024 iaitu sebanyak RM2.63 bilion, dengan RM1.72 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Kerja Raya Sabah dan jabatan di bawahnya.
“Kita prihatin dengan keresahan rakyat Sabah terhadap masalah kemudahan infrastruktur dan kemudahan asas seperti jalan raya, jambatan, cerun, perparitan, perkhidmatan pembetungan, keretapi, pelabuhan dan dermaga, pengurusan trafik, bangunan kerajaan.
“Kerjasama antara Kerajaan Negeri dan jurutera amat penting dalam memastikan setiap pembangunan dirancang dapat dilaksanakan dengan sebaiknya, memenuhi piawaian diperlukan sekali gus dapat memacu pertumbuhan ekonomi di Sabah,” katanya di sini malam tadi.
Hajiji berkata, komitmen Kerajaan Negeri memperkasa rangkaian jalan raya dan komited untuk menyempurnakan Projek Lebuh Raya Pan Borneo di negeri ini.
“Kerjaya jurutera memberikan sumbangan signifikan kepada pembangunan negara termasuk di Sabah. Peranan yang dimainkan bukan hanya membantu memacu ekonomi, juga meningkatkan kualiti hidup rakyat negeri ini.
“Usaha kerajaan negeri dalam memastikan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dapat direalisasikan dan dinikmati rakyat Sabah amat memerlukan kerjasama daripada semua pihak termasuk jurutera,” jelas Hajiji.