PENAMPANG : Usahawan industri sukan digesa memohon pembiayaan khas di bawah Skim Pembiayaan Industri Sukan (SPIS) dilaksanakan Bank Rakyat.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick skim tersebut bertujuan membantu usahawan industri sukan dari segi modal kerja dalam menjayakan dan mengembangkan perniagaan.
Katanya, Skim pembiayaan industri sukan merupakan inisiatif Belanjawan MADANI 2024 dan Bank Rakyat merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah dilantik sebagai agensi pelaksana.
“Justeru, saya berharap dengan adanya SPIS ini, akan membuka ruang dan peluang yang lebih baik kepada usahawan-usahawan yang ingin berkecimpung dalam keusahawanan industri sukan ataupun mengembangkan perniagaan yang sedia ada dalam sektor ini,” katanya ketika berucap merasmikan Kyro Fitness, di sini hari ini.
Ewon merupakan Ahli Parlimen Penampang menyatakan ucapan tahniah di atas pembukaan pusat gimnasium tersebut yang boleh memberikan perkhidmatan ke arah gaya hidup sihat di kalangan penduduk sekitar daerah Penampang.
“Saya menyokong penuh pembukaan Kyro Fitness bukan hanya dalam konteks pembangunan keusahawanan dan menyediakan peluang pekerjaan, tetapi sama pentingnya adalah pembudayaan gaya hidup sihat melalui pusat ini,” jelas Ewon.