Kerajaan negeri perhebat langkah tangani kos sara hidup rakyat

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata kerajaan negeri mempergiat pelbagai langkah segera bagi melindungi rakyat daripada tekanan kos sara hidup susulan kenaikan harga minyak global serta ketidaktentuan bekalan tenaga akibat konflik antarabangsa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri menyokong pendekatan Kerajaan Persekutuan dalam mengekalkan harga bahan api bersubsidi bagi mengawal kenaikan harga barangan di pasaran.

Katanya, harga petrol RON95 kekal pada RM1.99 seliter manakala diesel bersubsidi ditetapkan pada RM2.15 seliter bagi Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Kerajaan negeri juga konsisten menyuarakan kepentingan mengekalkan subsidi diesel di Sabah sebagai langkah kritikal untuk mengawal kos pengangkutan dan mengelakkan pemindahan beban kenaikan kos kepada pengguna,” katanya.

Dalam pada itu, pelbagai bantuan kewangan disalurkan termasuk Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) yang memberi manfaat kepada lebih 100,000 penerima dan dijangka meningkat kepada 140,000 penerima dengan peruntukan RM339.16 juta.

Selain bantuan langsung, kerajaan negeri turut menggalakkan amalan pertanian kendiri melalui program Kebun Dapur serta penggunaan produk tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada import.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada aspek sekuriti makanan melalui pelaksanaan projek pertanian, ternakan dan perikanan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13).