Kerajaan Negeri Pantau Rapi Situasi Banjir

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) sedang memantau rapi situasi banjir yang melanda beberapa daerah di negeri ini.

Ketua Menteri berkata, semua sumber yang ada telah digerakkan menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah bagi memastikan bantuan segera dapat disalurkan kepada mangsa terjejas.

“Saya telah mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana untuk mengaktifkan jenteranya bagi memastikan bantuan segera disalurkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut JPBN, setakat ini seramai 336 individu daripada 111 keluarga telah dipindahkan ke lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kota Marudu dan Pitas.

JPBN turut memantau perkembangan semasa di Sandakan dan Paitan bagi memastikan tindakan susulan dapat diambil dengan segera sekiranya keadaan bertambah buruk.

Beliau turut menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan berisiko tinggi supaya sentiasa berwaspada serta mengutamakan keselamatan berikutan amaran cuaca buruk yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, Kerajaan Negeri hari ini menyampaikan sumbangan kepada 16 individu yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Tanjung Aru pada 18 Februari lalu.

Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Ahli Parlimen Putatan, Shahelmey Yahya bersama Pengarah Yayasan Kebajikan Sabah (YKS), Datuk Diyanah Abdullah di PPS Kampung Sembulan.