Kerajaan menjaga kebajikan 21,535 penjawat awam di Sabah – Hajiji

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sentiasa menjaga kebajikan dan memastikan motivasi kira-kira 21,535 penjawat awam negeri sentiasa berada pada tahap yang tinggi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, selaras dengan pengumuman Perdana Menteri berkaitan pelarasan gaji, kerajaan negeri turut melaksanakan pelarasan gaji melalui dua fasa iaitu pada bulan Disember tahun ini dan fasa kedua pada 2026. 

Katanya, usaha ini diambil sejajar dengan hasrat kerajaan untuk merapatkan jurang pendapatan rakyat termasuk penjawat awam. 

“Kerajaan negeri memberikan Bantuan Khas Kewangan sebanyak sebulan gaji atau minimum RM3,000 kepada semua penjawat awam negeri Sabah termasuklah yang berstatus Kontrak, Vot Terbuka dan Pekerja Sambilan Harian, yang akan dibayar pada bulan Januari 2025. 

“Kita mengambil usaha ini kerana sedar bahawa penjawat awam negeri adalah nadi utama jentera dan pentadbir perkhidmatan kerajaan,” katanya.

Teks ucapannya dibacakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir. 

Hajiji berkata, CUEPACS memainkan peranan penting dalam menentukan corak dan arah perjuangan kesatuan sekerja dalam sektor awam di negara ini, termasuk di Sabah. 

“Kita berharap CUEPACS terus memberi sokongan padu terhadap apa jua inisiatif kerajaan Persekutuan dan negeri dalam usaha mengukuhkan tatakelola baik yang berintegriti.

“Ini termasuk bebas daripada gejala rasuah di setiap lapisan perkhidmatan, demi mencapai aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dan Gagasan Malaysia Madani. 

Menurutnya, penjawat awam peringkat persekutuan dan negeri mempunyai peranan penting dalam membantu menjayakan setiap agenda kerajaan.