KUNAK : Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) komited mengalakkan penyertaan khususnya wanita muda menyediakan platform serta latihan kepimpinan bagi membolehkan mereka terlibat secara aktif dalam politik.
Ketua Penyelaras Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Silam, Siti Shazianti Ajak berkata, ini bagi memperkasakan peranan wanita termasuk terlibat diberi peranan penting untuk memainkan peranan di peringkat kabinet kerajaan negeri Sabah.
Katanya, ini secara tidak langsung menyokong Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dalam membangunkan dasar secara proaktif dan inklusif di negeri ini.
“Penglibatan wanita dalam pembuat keputusan di peringkat tertinggi bukan sahaja memperkukuhkan demokrasi, tetapi juga memastikan keperluan serta aspirasi rakyat di setiap lapisan masyarakat didengari dan diutamakan.
“Sebagai contoh, portfolio berkaitan pendidikan, kebajikan dan pembangunan komuniti adalah bidang yang secara tradisional sinonim dengan keprihatinan wanita,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Siti Shazianti merupakan Ketua Penaja Harapan Rakyat Bahagian Silam berkata, namun wanita juga berupaya memimpin bidang yang dianggap teknikal termasuk ekonomi, infrastruktur serta teknologi.
“Seruan kepada semua terutama golongan muda agar bangkit dan mengambil bahagian secara aktif dalam politik.
“Jangan takut untuk bersuara, memimpin disamping memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat, bangsa dan negara, saya yakin mereka mampu melakukannya,” jelas Siti Shazianti.
Menurutnya, wanita merupakan agen perubahan manakala negeri Sabah memerlukan kepimpinan mewakili suara setiap rakyat, tanpa mengira jantina.
“Bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Harapan Rakyat Sabah, kita boleh mencorakkan masa depan yang lebih cerah untuk negeri dan negara,” kata Siti Shazianti.