KOTA KINABALU: Pelan Pengurusan Status Pewartaan Cadangan Taman Teluk Darvel kini dalam proses mengumpul maklumat bagi persediaan konsultasi dan pembangunan.
Kementerian Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar, melalui Taman-Taman Sabah (TTS) yang terlibat secara terus dalam pelan ini optimis konsep pelan pengurusan tersebut akan dihasilkan dan dibincangkan bersama pihak berkepentingan, termasuk operator pelancongan di kawasan tersebut.
Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Jafry Arifin berkata demikian semasa menjawab pertanyaan ADUN Dilantik, Datuk Yong Teck Lee di Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini kelmarin.
Katanya, pihak TTS sedang menyediakan pelan cadangan sempadan warta selain penyediaan borang permohonan tanah untuk dikemukakan kepada Jabatan Tanah dan Ukur untuk proses niat warta yang dijangka dilaksanakan hujung tahun 2022 dalam masa enam bulan untuk proses konsultasi awam sebelum diputuskan untuk pewartaan pada tahun 2023.
Katanya, proses warta tertangguh kerana terjejas akibat pandemik Covid-19.