KePKAS lancar Pelan Antirasuah Organisasi bagi semua agensi dibawahnya

KOTA KINABALU : Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah hari ini melancarkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) bagi semua agensi dibawahnya.

Ia dilancarkan oleh Menterinya Datuk Christina Liew sempena perasmian Minggu Integriti kementerian itu di sini, hari ini.

Hadir sama, Pembantu Menterinya Datuk Joniston Bangkuai dan Setiausaha Tetap Kementerian Datuk Mohd Yusrie Abdullah.

Christina ketika berucap pada majlis itu berkata insiatif untuk melancarkan OACP agensi ini telah bermula dalam tahun ini melalui Jawatankuasa Anti Rasuah peringkat Kementerian yang diketuai oleh Setiausaha Tetap Kementerian.

Katanya dokumen yang mengandungi Pelan Strategik Lima tahun ini diharapkan menjadi mekanisme dan rujukan yang berkesan bagi mengatasi isu salah laku dan rasuah di kalangan penjawat awam.

“Di samping pelancaran OACP, penjawat awam di bawah Kementerian dan agensi juga akan melafazkan Ikrar Bebas Rasuah. Ikrar Bebas Rasuah merupakan inisiatif SPRM dan dilaksanakan di pelbagai Kementerian, jabatan dan agensi di seluruh negara.

“Ikrar Bebas Rasuah bertujuan untuk memberi penekanan dan meningkatkan iltizam untuk menjauhi penyalahgunaan kuasa khususnya melibatkan rasuah,” katanya.

Beliau berkata dengan ini, penjawat awam akan lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas seharian di dalam organisasi.

Christina berkata Kerajaan amat memandang serius gejala rasuah dan usaha pengukuhan integriti dalam kalangan penjawat awam dilakukan dan dipantau dari semasa ke semasa.

Katanya keseriusan Kerajaan dalam gejala rasuah ini dapat dilihat melalui kenyataan visi Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 dimana pelan tersebut merupakan dasar anti rasuah yang mencerminkan harapan tinggi rakyat untuk negara bebas rasuah yang mengamalkan ketelusan, kebertanggungjawaban dan integriti.

Sehubungan itu, beliau mahu semua warga kementerian dan agensi-agensi di bawahnya untuk mematuhi semua peraturan yang berkuatkuasa, pekeliling perkhidmatan, garis panduan dan prosedur, Standard Operasi yang ditetapkan bagi mengelak sebarang isu yang melibatkan integriti kita sebagai penjawat awam.

Menurutnya aspek pencegahan merupakan satu bentuk kawalan dalaman dan perlu dilaksanakan oleh ketua jabatan sama ada dalam bentuk pemantauan, penaziran atau lain-lain kaedah yang bersesuaian.