Syarikat swasta, GLC digalak buat CSR pendidikan antirasuah untuk dapatkan potongan cukai – Hajiji

TUARAN: Syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Sabah digesa melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) berbentuk pencegahan dan pendidikan antirasuah bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, syarikat swasta atau GLC yang melaksanakan program CSR berbentuk pencegahan dan pendidikan antirasuah di negara ini, boleh mendapat potongan cukai di bawah Seksyen 34(6)(h) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Katanya, berdasarkan peruntukan itu, syarikat swasta layak memohon mendapatkan potongan cukai daripada pendapatan kasar perniagaan yang bersamaan dengan amaun perbelanjaan yang dibuat.

“Justeru saya menggesa syarikat-syarikat swasta dan GLC di Sabah agar mengambil peluang serta insentif pelepasan cukai dengan menganjurkan program CSR berbentuk pencegahan dan pendidikan antirasuah bersama SPRM.

“Ini secara tidak langsung dapat memberi manfaat dalam membantu menyemarakkan budaya integriti dan benci rasuah dalam kalangan masyarakat negeri ini,” katanya ketika merasmikan Program Kedai Jujur Peringkat Negeri Sabah Tahun 2023 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Nangka, di sini, pada Isnin.

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama kepada SPRM dalam memerangi dan melaksanakan aktiviti pencegahan rasuah.

Beliau berkata, ia termasuk menambah baik tadbir urus dan sentiasa memperkasakan integriti di peringkat penjawat awam hingga ke peringkat pelajar sekolah.

Menurutnya, rakyat juga perlu memberikan sokongan dan kerjasama sepenuhnya kepada pihak SPRM dalam membantu menyalurkan maklumat dan melaporkan sebarang perlakuan rasuah serta salah guna kuasa yang berlaku.

Katanya ini penting supaya pelaku rasuah dikenakan tindakan undang-udang yang sewajarnya agar ianya menjadi iktibar kepada masyarakat.