Kepentingan peribadi, pegangan politik boleh bawa kepada perpecahan – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Kepentingan peribadi dan pegangan politik yang akhirnya menerbitkan bibit-bibit permusuhan boleh membawa kepada perpecahan dalam kalangan keluarga Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata politik sewajarnya menjadi wadah kepada penyatuan, namun disebabkan perbezaan pegangan politik, ia kadangkala menjadi punca kepada perpecahan.

Beliau berkata perkara ini merupakan suatu cabaran besar yang perlu dihadapi bukan sahaja para pemimpin, tetapi juga Keluarga Malaysia bagi memastikan kestabilan negara terus terjamin.

“Sekiranya negara berada dalam keadaan tidak stabil, maka akan muncul pihak-pihak luar mahupun dalaman yang akan mengambil kesempatan, dengan niat untuk terus menggugat perpaduan yang telah sedia terjalin selama ini,” katanya merasmikan Kongres Perpaduan Negara secara maya di sini hari ini.

Katanya perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini telah sekian lama terjalin kerana prinsip ini dipelihara dengan perasaan muhibah dan harmoni.

Ismail Sabri berkata maka tidak hairanlah Malaysia telah lama menjadi model dan contoh kepada masyarakat lain di dunia, kerana berjaya menyatukan semua kaum melalui perkongsian kuasa dan berupaya kekal hidup dengan aman damai melalui sikap toleransi yang amat tinggi.

Lantaran itu, Perdana Menteri berkata sewaktu beliau mengambil alih pentadbiran, kerajaan mengambil langkah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan Pakatan Harapan pada 13 Sept lalu.

Ini katanya bagi membolehkan semua pihak dalam Keluarga Malaysia tanpa mengira fahaman politik, bersatu padu dan bersama-sama berganding bahu menghadapi krisis berkembar kesihatan serta ekonomi.

Dalam pada itu, Ismail Sabri mahu setiap Keluarga Malaysia sentiasa hormat menghormati dan mengawal diri daripada membangkitkan persoalan-persoalan sensitif terhadap sesuatu kaum.

– BERNAMA