Kenyataan formula BN-PH Bung Moktar bukti UMNO Sabah hilang keyakinan terhadap Warisan – Razeef

KOTA KINABALU : Timbalan Ketua Penerangan PKR Razeef Rakimin berkata, beliau mengambil maklum Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam satu kenyataan berkata, formula gandingan BN-PH (Pakatan Harapan) merupakan formula yang terbaik menghadapi Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Menurutnya, beliau berpandangan kenyataan beliau sekali gus membuktikan UMNO serta Barisan Nasional Sabah telah hilang keyakinan terhadap kerjasama BN dan Parti Warisan (WARISAN).

”Sebelum ini akar umbi UMNO pernah meluahkan ketidakselesaan menjalin kerjasama dengan WARISAN berikutan terkenal sikap keangkuhan dalam kalangan pemimpin mereka.

“Akibat keangkuhan inilah kerajaan Sabah ditumbangkan oleh rakyat pada PRN Sabah ke-16 lalu…Hanya  sempat memerintah selama 28 bulan.

“Malah parti ini juga hampir diranapkan pada Pilihan Raya Umum (PRU15) lalu. Pengalaman ini sudah cukup memberi pengajaran kepada semua pihak yang terlibat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Razeef berkata, berhubung rakan kerjasama menghadapi PRN17 Sabah, beliau berpandangan kenyataan Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew keputusan hanya dibuat selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan adalah sangat tepat.

“Sudah tentu PH Sabah memilih pihak yang memberi tawaran terbaik kepada gabungan ini sekali gus tidak ingin membuat keputusan secara tergesa-gesa.

“Namun saya juga berpandangan kerjasama dengan WARISAN agak sukar kerana pengalaman pahit bersama WARISAN sebelum ini,” jelas Razeef.