Kenyataan Armizan kerjasama GRS dan PH pada PRN Sabah agak melucukan – Jeffrey Nor

KOTA KINABALU : Kenyataan Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali mahu perpaduan sedia ada antara gabungan berkenaan dengan Pakatan Harapan (PH) diteruskan dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang adalah agak melucukan.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffrey Nor Mohamed berkata, umum mengetahui Timbalan Pengerusi GRS Datuk Yong Teck Lee merupakan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) di peringkat persekutuan.

Katanya, secara tidak langsung PN masih merupakan seteru kepada kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan yang diketuai oleh Pakatan Harapan (PH).

“Saya rasa Ahli Parlimen Papar perlu buka mata seluas-luasnya sekali gus selesaikan isu ini terlebih dulu baru fikir macam mana mahu berkerjasama dengan PH dalam PRN akan datang.

“Seperkara lagi saya tidak faham adakah kerajaan GRS ini betul-betul ikhlas menyokong kerajaan Perpaduan….Ini kerana masih terdapat seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik iaitu Pesuruhjaya PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jeffrey Nor merupakan Ketua Bahagian UMNO Putatan berkata, semua mengetahui sepatuhnya berada dalam DUN hanya barisan kerajaan sedangkan secara terang-terangan PAS merupakan sekutu menentang PH di peringkat persekutuan.

“Mengapa perkara ini tidak difikirkan oleh GRS sekali gus mengambil tindakan sewajarnya jika ingin benar-benar menjadikan PH sebagai gabungan mereka pada PRN Sabah.

“Seperkara lagi banyak lantikan politik di negeri Sabah masih lagi memberi ruang seluas-luasnya kepada ahli-ahli PAS….Jadi mana rasa keikhlasan mahu bersama dengan PH,” jelas Jeffrey Nor.