Kempen Kesedaran Buli Dilancar: “Noktahkan Buli, Mulakan Empati”

KOTA KINABALU: Pertubuhan Masyarakat Berpadu Sabah melancarkan Kempen Kesedaran Buli bertemakan “Noktahkan Buli, Mulakan Empati – Kami Hero Anti Buli”, di sini semalam.

Kempen ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu buli yang berlaku di negeri ini.

Presidennya, Mohammad Norizhuan Awang, berkata kempen ini merupakan kesinambungan daripada program Solidariti Aman Beaufort yang diadakan pada 16 Ogos lalu, sebagai reaksi terhadap kes buli yang menimpa arwah Adik Zara.

“Kempen ini menekankan aspek pendidikan dan kesedaran, melibatkan pelbagai aktiviti seperti:

Pertandingan pidato, Ceramah kesedaran di sekolah, Penghasilan video pendek, animasi dan poster anti buli yang disebar melalui media sosial.

“Sebagai permulaan, program dimulakan dengan aktiviti walkabout di Pekan Beaufort, di mana sukarelawan mengedarkan risalah dan lencana kempen kepada orang ramai, khususnya golongan belia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohammad Norizhuan menegaskan bahawa buli adalah jenayah sosial yang memberi kesan mendalam terhadap mangsa dan masyarakat.

Beliau menyeru kerjasama daripada semua pihak – termasuk ibu bapa, sekolah, NGO dan agensi kerajaan – untuk membina budaya empati dan hormat-menghormati demi masa depan yang lebih selamat dan berperikemanusiaan.