Stor haram CPO diserbu, dua lelaki dicekup

KUNAK: Taktik licik sindiket menyeleweng minyak sawit mentah (CPO) terbongkar apabila stor haram yang dijadikan tempat simpanan diserbu Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), di sini semalam.

Komandernya, ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata, dalam serbuan jam 2.30 petang itu, pihaknya berjaya merampas 23.9 metrik tan CPO yang disembunyikan dalam premis berkenaan.

Katanya, turut disita beberapa kenderaan dipercayai digunakan untuk kegiatan haram itu, selain dua lelaki tempatan berusia 25 dan 38 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

“Kita anggarkan nilai keseluruhan rampasan adalah mencecah RM1.15 juta.

“Kes disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia. Kami serius membanteras penyelewengan minyak sawit yang memberi kerugian besar kepada negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Nazri berkata, beliau turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan penyeludupan atau penyelewengan CPO.