Kejadian Salji turun di Gunung Kinabalu

IMG_0446
RANAU: Fenomena salji turun kira-kira tiga minit di Sayat-Sayat sehingga ke puncak Gunung Kinabalu iaitu di Kilometer 8.72 pada Isnin menggemparkan pendaki termasuk malim Gunung Kinabalu.

Kehadiran salji itu sempat dirakam oleh pelatih laluan Via Ferrata, Hajiri Sulumin, 47, ketika sedang menunggu pendaki di Sayat-Sayat pada jam 7.18 pagi.

Menurut Hajiri, kejadian itu berlaku secara spontan tetapi dalam tempoh masa yang pendek antara dua hingga tiga minit.

“Ketika itu saya sedang menunggu pendaki yang berada di puncak dan tiba-tiba ada salji turun tetapi sekejap saja antara dua hingga tiga minit.

“Ketika kejadian, saya berada di Sayat-Sayat Check Point dan saya percaya ia sehingga di puncak,” katanya.

Hajiri berkata strukturnya memang salji dan bukannya seperti ketulan ais yang biasa mereka lihat ketika di puncak Gunung Kinabalu.

“Sejak 11 tahun menjadi pelatih Via Ferrata, itu bukan pertama kali ia berlaku dan saya pernah saksikan fenomena yang sama berlaku pada 2018,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Taman Kinabalu Justinus Guntabid berkata, salji turun di kawasan berlaku sekitar kilometer 7 hingga ke puncak gunung.

Katanya, keadaan cuaca yang lebih sejuk berbanding kebiasaannya dipercayai menjadi punca fenomena berkenan.

“Kalau ikut rekod suhu dari jam 2 hingga 10 pagi, ia sekitar 6.9 hingga 12.3 darjah selsius manakala tahap kelembapan pula ialah 52 hingga 62 peratus.

“Kejadian kali ini sememangnya luar biasa kerana kebiasaannya hanya hujan ais atau pembekuan di sekitar kawasan puncak, apa yang dilihat pagi ini, ia benar-benar salji,” katanya ketika dihubung.

Justinus berkata, mengikut rekod sebelum ini, kejadian sama pernah berlaku pada 1975 dan 1993.

Sementara itu, rakaman kejadian salji di Gunung Kinabalu tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada pembaca.