KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyokong penuh pendirian tegas Kerajaan Perpaduan dalam mempertahankan kedaulatan negara dan menolak sebarang tuntutan ke atas Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan pendirian Malaysia yang sama dengan pendiriannya selama ini.
Katanya, rakyat Sabah memilih untuk bersama-sama membentuk Persekutuan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) oleh itu, sebarang tuntutan luar terhadap negeri Sabah tidak akan diiktiraf sama sekali oleh rakyat.
“Kita mengulangi Sabah sentiasa menjadi sebahagian daripada Malaysia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa telah mengiktiraf Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia sejak pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hajiji berkata, kerajaan negeri juga menyokong penuh tindakan dan kenyataan Wisma Putra bahawa isi kandungan video tular di media sosial yang mempertikaikan kedaulatan negeri Sabah, tidak berasas dan mengelirukan.
“Kami yakin Kementerian Luar akan dapat menyiasat perkara itu secara menyeluruh dengan kerjasama kementerian dan agensi berkaitan,” kata Hajiji.