Isu pewartaan Kampung Sentosa Blok 4 diselesaikan segera – Liew Yun Fah

TAWAU : Isu pewartaan kawasan Kampung Sentosa Blok Empat, di Kukusan Tawau untuk menjadi status perkampungan tetap akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) Tan Sri Liew Yun Fah berkata, status terkini kampung ini adalah setinggan serta didiami oleh penduduk tempatan yang sudah lama tinggal di kampung berkenaan.

Katanya, pihaknya melalui parti Harapan Rakyat serta kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah mengemukakan permohonan secara rasmi bagi tujuan Pewartaan Status Kampung kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor untuk tindakan segera.

”Kawasan perkampungan ini  di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan merupakan satu kampung yang patut sejak dulu lagi seharusnya dinaik taraf daripada masalah setinggan.

“Mereka yang mendiami kawasan ini adalah merupakan penduduk tempatan mempunyai status warganegara dan bukannya Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) seharusnya tindakan segera perlu diambil untuk menangani isu ini,” katanya kepada Sabah News Today hari ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Harapan Rakyat di Kg Sentosa Blok 4, Hilltop, Tawau di sini hari ini.

Majlis merupakan anjuran Persatuan Kebudayaan dan Kebajikan Bangsa Toraja Sabah dipengerusikan Ishak Martin.

Liew merupakan Naib Presiden GRS berkata, beliau melahirkan keyakinan Kerajaan Negeri dibawa kepimpinan Ketua Menteri sangat mementingkan kebajikan rakyat demi menjaga keharmonian serta kepentingan rakyat di negeri ini.

“Jika kampung masih berstatus setinggan sangat menyukarkan kepada kerajaan untuk menyalurkan peruntukkan kepada rakyat di kawasan ini.

“Kita maklum, beberapa kawasan di DUN Kukusan Tawau sedang dalam proses untuk dinaik taraf kepada perkampungan tetap di masa depan,” jelas Liew.

Dalam perkembangan berkaitan, Liew menerima kemasukkan seramai 166 ahli daripada Persatuan Kebudayaan dan Kebajikan Bangsa Toraja Sabah menyertai Harapan Rakyat.

“Penyertaan mereka ke Harapan Rakyat memberi petanda baik sekali gus membuktikan ahli baharu ini yakin terhadap perjuangan serta hala tuju parti dibawah gabungan GRS.

“Kita yakin akan ada lagi ahli baharu menyertai Harapan Rakyat selepas ini sekali gus berjuang bersama-sama dalam GRS untuk memberikan sokongan kepada kerajaan negeri Sabah,” kata Liew.

Di majlis tersebut, Liew menyampaikan sumbangan 300 paket beras kepada Persatuan Kebudayaan dan Kebajikan Bangsa Toraja Sabah, untuk diserahkan kepada penduduk di Kampung Sentosa Blok 4.