PBT ambil tindakan kepada individu sewa PPR kepada orang lain – Hajiji

KOTA KINABALU : Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu memantau pemilik bagi Program Perumahan Rakyat (PPR) agar kemudahan tersebut disalahgunakan oleh penerimanya.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sehingga kini terdapat kes pemohon berjaya mendapatkan PPR namun menyewakan rumah mereka kepada orang lain untuk merai  keuntungan segera.

Katanya, tindakan ini membuktikan mereka tidak memerlukan PPR sekali gus secara tidak langsung menggagalkan pihak yang benar layak menerimanya.

“Oleh itu, saya mahu semua PBT untuk menapis semua pemohon PPR dan memantau pelaksanaan PPR di kawasan masing-masing.

“Menurut perjanjian, mereka yang menerima PPR tidak dibenarkan untuk menyewakan rumah itu kepada orang lain,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) di sini hari ini.

Hajiji berkata, kerajaan negeri juga memohon sejumlah 5,000 PPR di Sabah untuk tahun hadapan.

“Saya bertemu dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming baru-baru ini, dan memohon 5,000 PPR untuk Sabah dimasukkan dalam belanjawan kementeriannya pada tahun depan,” jelas Hajiji.

Menurutnya, beliau mengesa agar semua PBT untuk melaksanakan lebih banyak meningkatkan program kesedaran kebersihan di kawasan masing-masing.

Katanya, kekurangan kesedaran terhadap kebersihan dalam kalangan rakyat adalah antara sebab masalah pembuangan sampah tidak dapat diselesaikan.

“Berkaitan dengan isu setinggan, setelah menerima makluman daripada Setiausaha Tetap KKTP, Datuk Dr Jamili Nais adalah penting pasukan penguatkuasaan kerajaan tempatan menyelesaikan masalah itu.

“Sekiranya mereka nampak bangunan di bina di atas tanah kerajaan di kawasan masing-masing, mereka harus segera bertindak. Jangan tunggu sehingga menjadi setinggan penuh kerana ia akan mendatangkan cabaran,” kata Hajiji.

Jamili dalam taklimatnya menjelaskan, terdapat 281 koloni setinggan di Sabah. Jumlah paling banyak terletak di Kota Kinabalu, diikuti Sandakan dan Tawau.

Sementara itu katanya, Kota Belud, Tuaran dan Ranau tidak mempunyai koloni setinggan.

Sementara itu, Hajiji turut mengarahkan pegawai PBT agar lebih proaktif serta melakukan pemeriksaan berkala terhadap kemudahan awam seperti sistem perparitan dan lampu jalan dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.