Jumardie gagal bentuk Wira Sepanggar, promosi diri jadi calon PRU – Azhar

KOTA KINABALU: Pengumuman bekas Ketua Wira Sepanggar, Jumardie Lukman bersama dua Ahli Jawatankuasa Bahagian (AJK) lantikkan dilihat tidak memberikan impak besar terutama pengaruh mereka di kawasan Sepanggar.

Ketua Penerangan WARISAN Sepanggar, Azhar Matussin berkata, sebahagian hadir semasa pengumuman menyatakan bahawa mereka dijemput hadir tanpa dimaklumkan tujuan sebenar majlis tersebut diadakan.

“Kenyataan mendakwa ketua kampung serta beberapa bekas pemimpin masyarakat mengikut langkah keluar parti lebih kepada gimik politik yang cuba mengelirukan rakyat.

“Mereka mendakwa Jumardie cuba memujuk agar mereka menyertainya namun beberapa pemimpin masyarakat menolak pelawaan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Azhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Darau berkata, pengumuman itu juga langsung tidak memberikan kesan besar apabila beliau hanya lebih gemar melakukan gerak kerja sendiri tanpa memaklumkan kepada barisan AJK Wira Sepanggar.

“Tidak banyak program dilakukan atas kapasitinya sebagai Wira Sepanggar yang dilakukannya…Jika ada hanya gambar beliau secara individu disamping memuat naik gambar berulang kali bertujuan hanya mempromosikan diri sendiri.

“Lebih mengejutkan mesyuarat Wira Sepanggar pun jarang dilakukan…Jumardie lebih gemar melakukan bekerja sendiri tanpa memaklumkan kepada Timbalan Wira atau AJK Wira itu sendiri,” katanya.

Azhar mengulas ketika Pilihan Raya Negeri (PRN16) lalu, Jumardie gagal menggerakkan Wira Sepanggar untuk menjadi jentera parti yang berkesan sekali gus hanya bergerak ke lokasi tertentu untuk mempromosi diri.

“Kita boleh katakan Jumardie ini tiada mempunyai wawasan sebagai seorang pemimpin. Beliau mengumumkan keluar dilihat tidak akan memberikan kesan besar manakala keberadaannya dalam WARISAN sebelum ini pun tidak memberikan impak. Dia lebih self-centered….hanya fokus jadi calon pilihan raya.

“Semua tahu Jumardie bukan orang Sepanggar….beliau tidak pernah berkongsi asal usulnya termasuk tidak pernah mengajak AJK untuk bertandang ke rumahnya. Semua Wira Warisan sangat keliru akan status kedudukannya,” katanya.

Azhar menambah, ketiadaannya sudah tentu akan memberi ruang kepada Timbalan Wira Julius Junior Gala untuk menyusun semula Wira WARISAN Sepanggar yang sudah sekian lama terumbang ambing.