#Politik “Jika benar tohmahan Suhaimi, tidak mungkin ramai pemimpin termasuk UMNO Sabah berdiri menyokong Hajiji,” kata Nizam
KOTA KINABALU: Kritikan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir terhadap ucapan dasar Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bagaikan menepuk air dalam dulang terpercik di muka mereka sendiri.
Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kritikan ini dengan sendirinya mendedahkan pengkhianatan UMNO Sabah kepada mandat serta aspirasi rakyat kepada mereka.
Katanya, dakwaan Suhaimi merupakan punca UMNO Sabah marah kerana Hajiji tidak menunaikan janji serta menipu adalah tohmahan sengaja direka-reka bagi menutup kelemahan serta kegagalan kudeta yang digerakkan.
“Hajiji merupakan seorang pemimpin dan Ketua Menteri yang terbuka mudah dibawa berbincang, sepatutnya Pengerusi UMNO Sabah yang juga berjawatan Timbalan Ketua Menteri ketika itu mempunyai akses yang cukup luas untuk berbincang termasuklah dalam Mesyuarat Kabinet Negeri.
“Suhaimi seharusnya sedar bahawa Hajiji selaku Ketua Menteri membuat keputusan dengan mengambil kira semua pandangan rakan parti dalam komponen Kerajaan Sabah dan bukan hanya untuk UMNO Sabah sahaja.
“Jika benarlah Hajiji seperti yang ditohmah oleh Suhaimi, tidak mungkin ramai pemimpin berdiri di belakang beliau, memberi sokongan moral sepertimana kehadiran pelbagai pemimpin termasuklah mantan pemimpin Sabah yang banyak berjasa kepada rakyat dan negeri turut hadir pada Perhimpunan Agung Tahunan Gagasan Rakyat baru-baru ini.
“Sedarkah Suhaimi selaku ADUN dilantik oleh Hajiji, jika Hajiji selaku Ketua Menteri tidak mengamalkan semangat setia kawan mengapa lima ADUN UMNO Sabah kekal menyokong beliau sebagai Ketua Menteri dan tidak bersetuju dengan tindakan kudeta yang dipanggil Langkah Kinabalu yang gagal itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semasa membentangkan Ucapan Dasar Presiden pada Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat, Hajiji merupakan Ketua Menteri mengingatkan semua ahli parti untuk bekerja bersungguh-sungguh, memantapkan jentera parti, menyantuni rakyat, berkhidmat dengan penuh iltizam agar parti mendapat mandat dengan kuasa yang cukup besar pada Pilihan Raya Umum Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.
“Sokongan besar daripada rakyat cukup penting agar titik hitam politik Sabah menerusi tindakan cuba merampas kuasa daripada rakan-rakan parti awal tahun ini yang menyebabkan kerajaan hampir-hampir kehilangan kelayakan tidak akan berulang.
“Gerakan ‘Kudeta’ yang gagal itu memberi pengajaran erti sebenar mana kawan dan mana pengkhianat,” jelas Nizam.
Hajiji merupakan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menghargai kematangan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) Sabah yang mengutamakan aspirasi dan mandat rakyat pada PRN16 dengan menyokong untuk mengekalkan kerajaan sedia ada.
“Langkah ini untuk membolehkan kerajaan yang kini dikenali sebagai Kerajaan Negeri GRS-PH Plus meneruskan pembelaan kepada rakyat melalui pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” tambah Nizam.