KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Libaran Datuk Suhaimi Nasir meminta Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjelaskan cara mengatasi isu hartanah tidak terjual berpunca daripada ketidaksepadanan nilai hartanah dibina dengan kemampuan pemilikan rakyat.
Menjawal soalan itu di Dewan Rakyat hari ini, Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata bilangan kediaman siap dibina tetapi tidak terjual turun kepada 26,286 unit dengan nilai RM18.3 billion daripada bilangan unit rumah yang dilancar sebanyak 135,614 unit.
Katanya penurunan jumlah rumah tidak terjual berbanding tempoh sama tahun lalu 5.3 peratus dan 0.6 peratus dari segi nilai.
Berikutan itu, menurut beliau, beberapa langkah disusun bagi memastikan isu lambakan rumah tidak terjual dapat terus dikawal.
“Pemetaan Indeks Rumah Mampu Milik (RMM) dilaksanakan berdasarkan pendapatan median mengikut negeri dan daerah yang diperoleh daripada tinjauan Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2022,”
katanya.
Akmal Nasrullah berkata, daripada kiraan median pendapatan rakyat mengikut lokaliti berdasarkan kaedah gandaan median (median multiple) boleh dijadikan panduan oleh pemaju serta agensi penyedia perumahan bagi menetapkan harga jualan rumah di satu-satu lokaliti.
Oleh itu, kata Akmal Nasrullah berkata, pemaju digalakkan melaksanakan Kajian Kebolehlaksanaan atau Feasibility Study sebelum sesuatu projek dilaksanakan bagi memastikan rumah yang dibina adalah berdasarkan kemampuan rakyat.
Pada soalan tambahan, Suhaimi ingin mengetahui, adakah terdapat sebarang libat urus yang telah dilaksanakan oleh kementerian bersama pihak pemaju bagi menyelesaikan isu imbangan penawaran dan permintaan sesebuah projek hartanah sebagai langkah untuk memastikan tidak berlakunya lambakan rumah yang tidak terjual.
Akmal Nasrullah berkata sememangnya dari segi proses libat urus kementerian dengan pemaju dan pihak berkepentingan ada ruang dikemukakan.
Katanya maklumat berkaitan perumahan ini diperolehi dari pusat maklumat harta negara.
“Sebab itu lah kementerian memang merancang untuk membina sistem data kerana maklumat yang ada berkaitan industri perumahan majoritinya di luar kementerian.
“Proses jual beli itu berlaku antara pembeli dan pemaju tanpa direkod oleh kementerian. Sebab itu sebagai contoh data yang ada dibawah kementerian sekitar 29 peratus dan data utama sebanyak 64 peratus di luar kawalan kementerian..Maka perlu himpunkan data-data ini untuk mengetahui lebih mendalam,” katanya.
Menjawab soalan tambahan kedua Suhaimi mengenai rumah mampu milik, Akmal Nasrullah berkata sebab itu takrif diguna adalah RM300, 000 ke bawah sebagai rumah mampu milik tetapi hakikatnya harga rumah dipengaruhi dengan lokaliti.
Katanya sebagai contoh antara bandar, di Alor Setar, Kedah, rumah mampu milik di sana berdasarkan median gaji adalah antara RM170,000-RM180,000 harga rumah berbanding di Shah Alam , Selangor berharga RM300,000.
“Sebab itu tujuan membina indeks pemetaan ini supaya rumah mampu milik ini itu dibuat bukan dibuat satu acuan untuk semua tetapi bergantung lokaliti, permintaan dan penawaran,” katanya.