JHEAINS pantau penyebaran ajaran sesat di Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) memandang serius sebarang usaha menyebarkan ajaran yang difatwakan sesat dan menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Exco Agama negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, tindakan penguatkuasaan dijalankan terhadap Program Jalsa Salana Wilayah Sabah Kali Ke-32 yang dikaitkan dengan Jamaat Ahmadiyah Muslim Malaysia (JAMM).

Menurutnya, operasi membabitkan 52 anggota penguat kuasa agama JHEAINS dengan bantuan 25 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

“Hasil operasi mendapati program berkenaan dihadiri hampir 300 peserta dari seluruh Sabah dan pelbagai bahan penerbitan berkaitan ajaran Ahmadiyah Qadiani dipamerkan sepanjang program berlangsung,” katanya dalam kenyataan pada hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut peruntukan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995.