Likefest Kaamatan tarik pelancong Sarawak, Brunei ke Tawau

TAWAU: Festival Likefest Kaamatan 2026 berjaya menarik kehadiran pelancong dari Sarawak dan Brunei sekali gus membantu merancakkan ekonomi serta sektor pelancongan di Tawau.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal berkata, festival itu bukan sahaja menjadi platform kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), malah berjaya menarik pengunjung dari luar Sabah.

Menurutnya, terdapat pelancong dari Sarawak dan Brunei yang datang ke Tawau khusus untuk menghadiri festival berkenaan selepas mengetahui penganjurannya.

“Selain merancakkan ekonomi di Tawau, tujuan festival ini adalah untuk menarik pelancong dari daerah lain di Sabah dan luar negeri.

“Kita juga membawa artis dari Kuala Lumpur dan mendapati terdapat pelancong dari Sarawak serta Brunei yang datang ke Tawau untuk menghadiri program ini,” katanya selepas merasmikan penutupan Festival Likefest Kaamatan 2026 di Kompleks Sukan Tawau.

Beliau berkata, Indonesia dan Filipina turut kekal sebagai pasaran penting bagi meningkatkan jumlah pelancong ke Sabah menjelang Tahun Melawat Sabah tahun depan.